06/29/2008
MAY KEMBALI...

Selepas lebih lima tahun tanpa album studio terbaru, kumpulan rock legenda, MAY yang dianggotai Mus (penyanyi), Abu (gitar), Yus (bes) dan Man (dram) kembali dengan album studio terbaru mereka berjudul Rock Klasik terbitan Nova Music.
Album terbaru MAY adalah sebuah projek istimewa sempena pembabitan 23 tahun mereka dalam arena muzik rock tanahair. Kali terakhir kumpulan MAY muncul dengan album studio pada tahun 2003 melalui album Sinar.
Album Rock Klasik mula berada di pasaran pada 30 Mei 2008 lalu. Album ini ibarat kembara semula kumpulan MAY ke era kegemilangan muzik rock tahun 1980-an dan awal 1990-an. Mereka berani redah pasaran yang lembap kerana yakin lagu-lagu yang dipasarkan masih berbisa.
MAY kembali ke muzik akar umbi yang menjadi teras kepada muzik rock yang mereka bawa selama ini! Ketika era tersebut, banyak lagu hebat diterbitkan yang kini sudah mencapai status klasik.
Sempena pembabitan 23 tahun mereka dalam arena muzik rock, kumpulan MAY telah memutuskan untuk memberi penghormatan kepada lagu-lagu rock klasik yang pernah diterbitkan dengan merakam semula dalam versi mereka.
“Saya akui bukan mudah membuat keputusan untuk merakamkan semula lagu-lagu yang menjadi identiti sesebuah kumpulan muzik, namun atas dasar hormat kepada karya mereka, saya mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab," kata penyanyi utama May, Mus.
Walaupun MAY dikenali dengan music rock yang agak keras, May turut ikuti lag-lagu Akan Kukenang (Junction), Tiara (Kris), Bunga Padang Pasir (Sofea), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Tiada Lagi Aku (Rusty Blade) dan Patahnya Sayap Malam (Masa).
"Atas sebab inilah saya bersetuju merakam semula lagu-lagu tersebut dengan stail saya sendiri," kata Mus lagi.
Album ini jadi lebih istimewa dengan pembabitan dua bekas vokalis kumpulan tersebut, Yantzen dan Oney dalam rakaman album tersebut.
Kedua-dua penyanyi tersebut menyumbang suara mereka untuk beberapa lagu secara solo dan juga secara bergandingan dengan penyanyi-penyanyi MAY yang lain.
Menerusi lagu Tiara ada peraduan suara Mus, Yantzen dan Oney. Motifnya bukanlah untuk mencari siapa yang terbaik tetapi untuk memperlihatkan keunikan tiga vokalis MAY menyanyikan lagu popular kumpulan Kris.
Rock Klasik memuatkan sepuluh lagu iaitu, Akan Kukenang (Mus), Tiara (Mus, Yantzen dan Oney), Cinta Bandar Tasik Selatan (Yantzen), Bunga Padang Pasir (Oney), Srikandi Cintaku (Mus), Tika Dan Saat Ini (Mus dan Oney), Tiada Lagi Aku (Oney), Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara (Yantzen), Patah Sayap Malam (Mus) dan lagu baru Pendirian (Mus, Yantzen dan Oney).
15:14 Posted in MUSIC | Permalink | Comments (0) | Email this




Post a comment